Saturday 19 April 2014

ND Lala jawab isu seluar ketat warna kulit Shila Amzah


Bapa penyanyi Shila Amzah, ND Lala mengambil tanggungjawab dengan mengakui dirinya bersalah ekoran isu skirt dan legging warna kulit yang dipakai anaknya di China baru-baru ini.
ND Lala bagaimanapun menjelaskan, apa yang berlaku ketika itu berpunca daripada kostum yang terhad selain kekangan waktu.
“Sebenarnya ketika Shila telah diminta oleh lima buat stesen televisyen di sana secara tiba-tiba untuk membuat rakaman dan ia diadakan pukul 1 pagi tanpa kehadiran penonton.
“Memandangkan kekangan waktu untuk pulang ke hotel dan kembali ke studio rakaman dalam tempoh dua jam, saya tidak fikir semua krew yang terlibat boleh menunggu untuk memulakan rakaman itu pada pukul 3 atau 4 pagi.
“Jadi, Shila terpaksa pakai apa yang ada dan ia seperti warna kulit. Sebagai bapa, saya ada di sana dan letak kesalahan itu kepada saya,” katanya.
ND Lala ditemui pada sidang akhbar Konsert Love Shila Amzah In Malaysia di Menara KL di sini hari ini.
Hujung bulan lalu, Shila mencetuskan kontroversi ketika membuat persembahan satu program hiburan di China baru-baru ini.
Shila memakai skirt pendek tetapi legging yang seakan warna kulit dan sekali pandang seolah-olah Shila memakai skirt pendek tapi bertudung.
Mengulas lanjut, ND Lala berharap peminat seni hiburan tidak menganggap anaknya sebagai ikon muslimah sebaliknya sebagai ikon penyanyi.
Jelasnya, ini adalah tidak adil jika Shila dianggap sedemikian kerana banyak kriteria yang tidak mampu dibawa anaknya itu.
“Mesej dari saya biarlah Shila dianggap sebagai ikon penyanyi sahaja dan bukannya ikon muslimah. Cuma sebagai bapa, saya sentiasa berharap agar Shila akan sentiasa memperbaiki kehidupan dari hari ke hari,”
Sementara itu, Shila pula berkata, sebagai manusia, dia tidak terlepas melakukan kesalahan.
Namun dia lega kerana ahli keluarga terutama bapanya sentiasa berada di sampingnya ketika menjalankan aktiviti di China dan mengetahui perkara yang sebenarnya.

0 comments: